KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa pasukan serbuan menemukan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas dalam keadaan bersepah ketika menggeledah sebuah unit di Pavilion Residences yang dikaitkan dengan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, berkata situasi itu berlaku kerana bagasi yang menyimpan wang dan barangan berharga berkenaan terlalu padat sehingga isinya terkeluar dan bertaburan di lantai.
Menurutnya, serbuan pada 17 Mei 2018 itu menemukan 71 bagasi, satu kotak plastik serta 284 kotak berisi beg tangan di kediaman mewah yang dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau yang mengetuai operasi berkenaan memaklumkan, pasukan tiba di penthouse dua tingkat itu sekitar jam 6.30 petang dan mendapati premis berkenaan kosong.
Bagasi dan kotak disusun dalam dua bilik, manakala dua bilik lain tidak berisi apa-apa.
“Beg-beg tersebut mengandungi pelbagai mata wang asing, manakala barang kemas pula disimpan dalam plastik. Disebabkan terlalu penuh, wang dan barang kemas terkeluar sehingga kami terpaksa memasukkannya semula dan menzip beg,” katanya ketika memberi keterangan.
Amar, yang tampil sebagai saksi kedua bagi pihak kerajaan, menjelaskan bahawa pihaknya pada awalnya bercadang untuk mengira dan menanda semua barang kes di lokasi serbuan.
Namun, hasrat itu tidak dapat dilaksanakan berikutan jumlah yang terlalu banyak.
“Bayangkan untuk satu jenis rantai sahaja boleh mencecah sehingga 12,000 unit. Mustahil untuk kami menyenarai semuanya di situ,” ujarnya.
Perbicaraan itu melibatkan saman berjumlah AS$14.57 juta yang difailkan syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, berhubung kehilangan lebih 40 barangan kemas yang didakwa dipinjamkan kepada Rosmah.
Tambah Amar, pasukan serbuan juga berdepan kekangan kerana tidak mempunyai peralatan seperti mesin penimbang atau kepakaran untuk menentukan ketulenan barang kemas sama ada emas atau berlian.
“Premis itu juga tidak mempunyai pendingin hawa, dan kami tidak mempunyai kemudahan untuk menimbang, mengukur atau mengesahkan setiap item,” katanya.
Sehubungan itu, pasukan mengambil keputusan membungkus semua beg menggunakan plastik khas seperti di lapangan terbang bagi memastikan keselamatan dan integriti barang kes sebelum dihantar ke Bukit Aman menggunakan lima kenderaan ‘Black Maria’.
Katanya, semua barangan tersebut diiringi konvoi keselamatan ketat sebelum dipindahkan untuk proses lanjut.
Amar turut memaklumkan bahawa proses pemeriksaan dan penilaian barang kemas dijalankan antara 30 Mei hingga 25 Jun 2018 di Menara KPJ, sebelum disimpan di bilik kebal Bank Negara Malaysia.
Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa pegawai penyiasat bersama wakil syarikat berkenaan berjaya mengenal pasti sekurang-kurangnya satu barang kemas sebagai milik Global Royalty Trading SAL dan telah dipulangkan.
“Jika benar, sebanyak 1,041 barang kemas ditemui dalam beg yang disimpan di premis tersebut,” katanya.
Prosiding di hadapan Hakim Datuk Quay Chew Soon dijadualkan bersambung petang ini.










