Remaja Ditahan Kes Bayi Ditinggalkan Di Parkir Surau

JOHOR BAHRU: Polis menahan sepasang remaja awal pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di kawasan parkir sebuah surau di Taman Universiti, Skudai, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Radin Ramlan Radin Taha memaklumkan, suspek lelaki berusia 18 tahun dan wanita berumur 19 tahun itu diberkas sekitar jam 2.15 pagi di kawasan berhampiran lokasi kejadian.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing yang dijalankan turut menunjukkan keputusan negatif.

“Pasangan terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut dan akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru hari ini bagi mendapatkan perintah reman,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang atau menyembunyikan bayi dengan niat untuk meninggalkannya. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta sentiasa mematuhi undang-undang demi kesejahteraan masyarakat.

Terdahulu, kejadian tersebut mencetuskan perhatian ramai selepas video penemuan bayi berkenaan tular di media sosial, sekali gus mengundang rasa simpati dan kemarahan dalam kalangan netizen.

BBerkaitan

Latest articles