PUTRAJAYA: Islam tidak boleh dijadikan perisai untuk menutup penyelewengan, rasuah dan penindasan, apatah lagi sehingga mengabaikan nasib golongan miskin dan terpinggir, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, penghayatan terhadap ajaran Islam tidak seharusnya terhenti pada aspek ritual atau retorik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pembaharuan sistem, pentadbiran dan kehidupan masyarakat.
“Jangan Islam itu menjadi topeng mengesahkan penyelewengan, rasuah dan penindasan, meminggirkan yang miskin,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khatam Sama’ Hadis Jami’ al-Tirmidhi dan al-Syama’il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra, malam ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa kemerdekaan negara tidak bermakna pengaruh pemikiran penjajah telah terhapus sepenuhnya, khususnya dalam aspek politik, pentadbiran, pendidikan, bahasa dan budaya.
Katanya, institusi pendidikan agama seperti madrasah, maahad, tahfiz dan pesantren memainkan peranan penting sebagai benteng mempertahankan akidah, akhlak serta jati diri umat Islam ketika negara berdepan penjajahan.
Institusi berkenaan, katanya, bukan sekadar melahirkan individu berilmu agama, malah turut menyemai semangat perjuangan menentang penjajahan dan mempertahankan maruah bangsa.
“Pada masa itu, satu-satunya benteng pertahanan kita yang kekal ialah madrasah, maahad, tahfiz dan pesantren yang bukan sahaja menanam dan mempertahankan akidah, akhlak serta sahsiah malah roh perjuangan menentang penjajahan,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar berkata kerajaan sejak tiga hingga empat tahun lalu berusaha menambah peruntukan bagi membantu institusi pendidikan agama yang berdepan kekurangan kemudahan dan ketinggalan.
Dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan Oktober lalu, kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi kerja membaik pulih sekolah agama rakyat, institusi tahfiz dan sekolah pondok berdaftar.
Peruntukan itu turut disertai peluasan skop bantuan bagi menampung kos operasi institusi berkenaan, sebagai usaha memastikan kelangsungan pendidikan agama serta memperkukuh peranannya dalam pembangunan masyarakat.










