KUALA LUMPUR: Kualiti makanan pelajar tidak boleh dikompromi hanya kerana kontrak penyedia perkhidmatan hampir tamat, tegas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, susulan aduan pelajar MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka, mengenai ayam yang dihidangkan tidak masak sempurna.
Beliau berkata, aduan berhubung mutu makanan di maktab berkenaan diterima daripada beberapa pelajar serta ibu bapa, sekali gus mendorong beliau menghubungi pihak pengurusan sekolah untuk mendapatkan penjelasan.
Hasil semakan, beliau dimaklumkan kontrak penyedia makanan di MRSM itu hanya berbaki kira-kira sebulan, namun keadaan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan kualiti makanan yang disediakan kepada pelajar.
Asyraf berkata, terdapat kecenderungan kontraktor mengendurkan komitmen terhadap mutu perkhidmatan apabila kontrak hampir berakhir, sesuatu yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab dan mengecewakan.
“Sudah semacam satu ‘trend’ apabila satu-satu kontrak sudah hampir tamat tempoh, maka penyedia makanan semacam mengabaikan kualiti makanan yang disediakan.
“Saya amat kecewa dengan sikap kontraktor yang tidak bertanggungjawab seperti ini. Saya sudah minta Pengetua segera siasat dan ambil tindakan tegas malam ini juga,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menegaskan kebajikan pelajar merupakan perkara yang tidak boleh dikompromi, lebih-lebih lagi pelajar Tingkatan Lima MRSM berkenaan baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Asyraf berkata, kontraktor yang gagal memenuhi tanggungjawab boleh dikenakan penalti, selain berdepan tindakan disenarai hitam daripada memperoleh sebarang manfaat atau kontrak Mara pada masa akan datang.
Beliau turut menyatakan simpati terhadap pelajar yang terpaksa berdepan masalah berkenaan, sambil menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang dan mutu penyediaan makanan di institusi pendidikan Mara sentiasa terjamin.










