SHAH ALAM: DAP tidak boleh lagi bergantung kepada rekod pencapaian pentadbiran semata-mata untuk mempertahankan Selangor apabila parti itu berdepan perubahan landskap politik dan penyatuan kekuatan pembangkang, kata Loke Siew Fook.
Setiausaha Agung DAP itu memberi amaran parti berkenaan kini berada dalam ‘mode krisis’ dan perlu segera mengubah pendekatan serta merangka strategi baharu bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) terus menguasai Selangor pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata DAP juga perlu mengembalikan semangat perjuangan seperti ketika PH berjaya menawan Selangor pada 2008, bukannya terus berada dalam keadaan selesa selepas menikmati kejayaan politik.
“Kita berada dalam keadaan ‘krisis mood’. Orang lain mahu menjatuhkan parti kita, mahu menjatuhkan kerajaan kita. Kita mesti serius dalam perjuangan dan mengambil semangat untuk mempertahankan serta berjuang seperti semangat kita pada 2008.
“Pada 2008, sebelum menang, semua bersemangat. Selepas menang, kita seolah-olah sudah selesa. Perkara ini mesti kita cegah dan kita perlu sentiasa berhati-hati,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Selangor, hari ini.
Loke turut mengakui PH berdepan cabaran besar di Selangor, termasuk perubahan demografi pengundi susulan perpindahan penduduk dari negeri-negeri dalam kumpulan SG4 ke Selangor untuk bekerja, sebelum menukar alamat pendaftaran mengundi ke negeri itu.
Menurutnya, perkembangan tersebut merupakan antara strategi yang sedang dirancang dan dilaksanakan, sekali gus memerlukan PH mencari pendekatan berkesan untuk mengekalkan sokongan pengundi.
“Ini strategi yang sedang dirancang dan dilaksanakan. Ini cabaran besar kepada PH Selangor dan kita mesti mencari jalan untuk menanganinya.
“Justeru, perkara yang sangat penting ialah bagaimana kita memberikan inspirasi kepada pengundi Selangor bahawa PH merupakan pilihan untuk meneruskan kepimpinan di negeri ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perkembangan politik di Melaka dan Negeri Sembilan membuktikan prestasi pentadbiran sahaja tidak menjamin kemenangan apabila BN dan PN mampu menyatukan kekuatan serta memainkan sentimen penolakan terhadap DAP.
Loke berkata kegagalan PH mempertahankan Selangor bukan sahaja akan menyebabkan gabungan itu kehilangan kuasa pemerintahan, malah berisiko menghapuskan pencapaian yang dibina sejak 18 tahun lalu.
“Kalau kita hilang kekuatan ataupun mandat di Selangor, apa yang telah dicapai dalam tempoh 18 tahun sejak 2008 akan hilang dan lenyap.
“Kemajuan yang telah kita capai akan berundur ke belakang. Kita mahu terus mara dan maju ke hadapan, bukan menoleh ke belakang,” katanya.
Beliau menegaskan DAP dan PH perlu kembali agresif dalam perjuangan politik serta memastikan pengundi terus melihat gabungan itu sebagai pilihan terbaik untuk menerajui Selangor.










