Wakil Rakyat Bukan Pelari, Pengumpul Dana Untuk Bantu Rakyat – Salim Mahmood

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat tidak sepatutnya terpaksa menyertai perlumbaan, mengumpul dana atau mencari tajaan semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membantu rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Salim Mahmood Al Hafiz berkata, usaha Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyertai cabaran ketahanan fizikal bagi mendapatkan wang ganjaran untuk disalurkan kepada penduduk di kawasannya wajar dihargai.

Bagaimanapun, menurutnya, situasi itu turut menimbulkan persoalan lebih besar mengenai keadilan pengagihan peruntukan kerajaan kepada wakil rakyat, khususnya daripada pembangkang.

“Saya menghargai usaha YB Syed Saddiq mencari dana melalui cabaran tersebut. Namun, saya tidak mahu pengorbanan seperti ini menjadi norma, seolah-olah wakil rakyat perlu menjadi pelari, pengumpul dana atau pencari tajaan untuk menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.

“Rakyat sepatutnya dibantu kerana mereka berhak, bukan kerana wakil mereka berjaya memenangi perlumbaan atau mendapat simpati penaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Beliau berkata, tugas utama seorang Ahli Parlimen adalah memperjuangkan hak rakyat, membawa suara mereka ke Parlimen, mendesak kerajaan melaksanakan dasar yang adil serta memastikan peruntukan sewajarnya disalurkan kepada masyarakat.

Mengulas lanjut, Salim berkata, isu berkenaan lebih ketara apabila wakil rakyat pembangkang didakwa tidak mendapat akses kepada peruntukan tahunan melebihi RM3 juta yang boleh digunakan bagi memenuhi pelbagai keperluan rakyat.

Katanya, tindakan sedemikian bukan sahaja menjejaskan wakil rakyat terbabit, malah rakyat yang memerlukan bantuan, pembaikan kemudahan awam, sokongan keluarga dan bantuan pendidikan turut menjadi mangsa.

“Siapakah sebenarnya yang rugi?

“YB mungkin tidak rugi. Beliau masih boleh bersuara, berjuang dan menjalankan tugas politiknya. Tetapi rakyat yang kehilangan peluang menerima bantuan, rakyat yang memerlukan pembaikan kemudahan, keluarga yang memerlukan sokongan, anak-anak yang memerlukan bantuan pendidikan dan masyarakat yang menunggu pembangunan, merekalah yang menanggung akibatnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan peruntukan kerajaan bukan hak parti pemerintah atau dana peribadi menteri, sebaliknya wang rakyat yang perlu diagihkan secara adil tanpa mengira fahaman politik.

Menurutnya, penduduk di kawasan yang diwakili pembangkang juga membayar cukai, berdepan peningkatan kos sara hidup dan mempunyai keperluan pembangunan yang sama seperti rakyat di kawasan lain.

“Jika wakil rakyat kerajaan mendapat peruntukan untuk membantu rakyat, wakil rakyat pembangkang juga sepatutnya diberikan ruang dan peruntukan yang adil.

“Jangan menghukum rakyat hanya kerana mereka memilih wakil daripada parti yang berbeza,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan supaya tidak menjadikan peruntukan sebagai alat tekanan politik atau menggunakan perbezaan parti sebagai alasan untuk meminggirkan rakyat.

“Wakil rakyat boleh berbeza politik. Tetapi hak rakyat tidak boleh dibezakan.

“Itulah keadilan yang sepatutnya diperjuangkan dalam sebuah negara yang mengaku menjunjung demokrasi,” katanya.

Salim mengulas usaha Syed Saddiq menyertai cabaran perlumbaan ketahanan fizikal bagi mendapatkan wang ganjaran untuk membantu rakyat Muar.

Syed Saddiq sebelum ini berjaya memperoleh ganjaran RM1 juta daripada Prima Valet selepas menamatkan cabaran berkenaan dalam tempoh kurang 13 jam pada tahun lalu, namun tidak berjaya mendapatkan ganjaran RM200,000 yang disasarkan pada tahun ini.

BBerkaitan

Latest articles