JASIN: Polis mengesahkan pemandu bas ekspres yang tular kerana memandu sambil seorang wanita duduk di atas ribanya merupakan lelaki berusia 36 tahun yang sudah berkahwin, manakala wanita terbabit dipercayai individu yang dikenalinya.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan kedua-dua individu tersebut bagi membantu siasatan insiden yang berlaku di susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bemban arah selatan, Ahad lalu.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai status perkahwinan sah, namun maklumat lanjut mengenai wanita terbabit termasuk umur dan statusnya masih belum dikenal pasti.
“Kita sedang berusaha mengesan kedua-dua suspek dan meminta mereka tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, ketika kejadian sekitar jam 7.30 malam itu, bas berkenaan sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menuju ke Larkin, Johor Bahru.
Lee menjelaskan, pihak polis mula mengesan video berdurasi lapan saat yang memaparkan aksi berbahaya itu selepas ia tular di media sosial sekitar jam 5.30 petang semalam.
Siasatan kemudian mengesahkan kejadian berlaku di Lebuh Raya Utara-Selatan dalam daerah Jasin.
Beliau menegaskan, tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berisiko tinggi kerana boleh menjejaskan kawalan kenderaan serta membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Sehubungan itu, kedua-dua individu terbabit diminta tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533 atau tampil ke balai polis berhampiran.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan perbuatan berisiko sehingga mengancam nyawa,” tegasnya.










