JELEBU – Program Agrofest Eidwalk Jelebu yang berlangsung di Dataran Simpang Pertang pagi tadi mendapat sambutan menggalakkan apabila ratusan peserta menyertai aktiviti berjalan sejauh lima kilometer dalam suasana penuh ceria.
Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Dato Haji Mustapha Nagoor berkata, program tersebut bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah menjadi platform mengeratkan hubungan dalam komuniti.
Menurut beliau, penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda, ibu bapa dan warga emas membuktikan aktiviti riadah mampu menyatukan rakyat dalam suasana santai.
“Ini bukan sekadar aktiviti berjalan, tetapi ruang untuk kita bertegur sapa, mengukuhkan silaturahim dan memupuk semangat kebersamaan,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong penganjuran program seumpama itu bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Program berkenaan dilihat memberi impak positif bukan sahaja kepada kesihatan fizikal, malah memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan komuniti setempat.










