Kesilapan Sinar Harian Perlu Diselesai Secara Konstruktif, Bukan Dihukum – Majlis Media

Kuala Lumpur — Majlis Media Malaysia (MMM) menegaskan bahawa isu kesilapan penerbitan akhbar Sinar Harian berhubung biodata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, perlu ditangani secara konstruktif dan bukannya menerusi tindakan undang-undang yang bersifat menghukum.

Dalam satu kenyataan rasmi oleh lembaga pengasas badan itu hari ini, MMM menyuarakan kebimbangan terhadap sebarang pendekatan keras oleh pihak berkuasa yang berpotensi menjejaskan kebebasan media di negara ini.

“Jalan penyelesaian terhadap kewartawanan yang cacat adalah melalui kewartawanan yang lebih baik, bukan melalui intimidasi atau penindasan,” kata MMM.

Akhbar berkenaan sebelum ini menerbitkan infografik yang secara tidak tepat mengaitkan Mohd Khalid dengan jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kesilapan itu kemudiannya diperbetulkan dengan segera, diikuti permohonan maaf terbuka oleh pihak Sinar Harian.

Menurut MMM, tindakan Sinar Harian yang mengambil tanggungjawab penuh serta memohon untuk bertemu dengan Ketua Polis Negara – yang turut menyatakan kesediaan menghadiri pertemuan itu – adalah langkah tepat ke arah penyelesaian yang membina.

“Walaupun organisasi media mempunyai tanggungjawab untuk melapor secara tepat dan beretika, adalah penting agar sebarang kesilapan ditangani secara membina dan dalam kerangka yang sewajarnya.”

MMM turut menekankan bahawa kesilapan boleh berlaku dalam mana-mana profesion, namun yang lebih penting ialah ketelusan dan komitmen untuk memperbaiki kelemahan yang wujud.

“Media dalam hal ini harus bertindak balas dengan rendah hati dan iltizam untuk memperbaiki kelemahan,” tambah kenyataan itu.

Walaupun MMM belum beroperasi sepenuhnya, insiden ini disifatkan sebagai bukti keperluan segera untuk menegakkan nilai-nilai asas kewartawanan bertanggungjawab serta memperkukuh semakan fakta – khususnya dalam laporan melibatkan institusi penting negara.

MMM ditubuhkan di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025 yang mula berkuat kuasa pada 14 Jun lalu. Lembaga Pengasasnya dianggotai oleh 12 individu mewakili empat kategori utama iaitu pemilik media, pengamal media profesional, pengamal media bebas dan wakil bukan media.

BBerkaitan

Latest articles