Jejak Makanan Di Sabah

Setiap perjalanan pasti lebih bermakna apabila disertakan dengan pengalaman menjamu selera. Apabila kita menerokai tempat asing, ini bermakna kita juga akan menyelami budaya baharu, termasuk mencuba hidangan tempatan unik. Ini adalah peluang terbaik untuk mengabaikan rutin menu harian anda dan menikmati pelbagai hidangan serta minuman baharu. Ada yang mungkin mengena dengan citarasa anda, manakala ada juga yang mungkin kurang digemari. Namun, ini adalah perkara biasa, kerana setiap orang mempunyai citarasa tersendiri apabila berkaitan dengan makanan.

Sabah, sebagai contoh, merupakan destinasi popular bukan sahaja kerana keindahan alam semula jadinya, tetapi juga kerana terkenal sebagai syurga makanan laut yang segar, lazat, dan murah. Selain itu, dengan kepelbagaian masyarakat majmuk yang berbilang kaum di Sabah, makanan tradisional di negeri ini menjadi amat istimewa, kaya dengan warisan budaya dan rasa yang tersendiri. Namun pengalaman kulinari di Sabah tidak terhenti setakat itu sahaja. Terdapat banyak lagi pilihan makanan yang menyelerakan dan terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan yang menanti untuk dicuba.

1. Mi Ngiu Chap (Mi sup daging)


Jika nasi lemak sinonim dengan sarapan di Semenanjung Malaysia, di Sabah, pilihan popular ialah mi ngiu chap iaitu mi sup daging lembu yang kaya rasa. Hidangan ini menggabungkan bebola daging, hirisan pelbagai bahagian lembu, termasuk organ dalaman, dalam kuah berempah yang dimasak perlahan selama beberapa jam.  Hasilnya ialah daging yang empuk dan beraroma, lazimnya dinikmati bersama cili padi kegemaran orang Sabah. Hidangan ini terkenal dan mudah didapati di kawasan Pantai Barat. Antara kedai yang terkenal termasuklah Kah Hiong Ngiu Chap, Nyuk Pau Menggatal Ngiu Chap dan Yii Siang Hainan Ngiu Chap.

2. Mi Sup Ikan

Bagi penduduk tempatan Sabah, menikmati semangkuk mi ikan segar yang panas adalah satu pengalaman yang menyenangkan. Sama ada anda menggemari versi kon lau (mi kering disalut kicap) atau dihidangkan dengan sup yang menyelerakan, mi ikan versi Sabah sememangnya istimewa. Kedudukan negeri ini yang dikelilingi kawasan laut memastikan ikan yang digunakan sangat segar, sedap dan lembut. Hanya hasil tangkapan terbaik digunakan dalam pembuatan sup ini. Terdapat juga pelbagai pilihan kuah sup yang lazat seperti ham choi (sawi masin), tomato, asam pedas dan tom yam laksa. Mi ikan boleh didapati di seluruh Sabah, dan tempat-tempat yang terbaik sering kali mempunyai barisan pengunjung yang panjang, tetapi sangat berbaloi untuk dicuba. Antara tempat yang disyorkan termasuk Fatt Kee Seafood Restaurant, Aliang Fish Noodle dan Big Three Fish Noodles di Sandakan.

3. Kepak Ayam Panggang

Kepak ayam panggang mungkin kedengaran seperti hidangan ringkas dan lazimnya dijadikan sebagai menu tambahan pembuka selera. Tetapi percayalah pada warga Sabah yang menganggap kepak ayam panggang sebagai hidangan utama. Kepak ayam panggang diperap dengan ramuan istimewa mengikut citarasa Sabahan, disalut secara sekata dan dibakar hingga sempurna untuk mendapatkan rasa salai yang memikat. Walaupun banyak penjaja menjualnya di sekitar bandar, tahukah kamu bahawa tempat yang terbaik dan popular terletak di pekan Kundasang. Menikmati kepak ayam panggang yang baru dibakar pada ketinggian 1,900 meter dari aras laut sambil ditiup udara gunung yang sejuk memberikan suasana nyaman untuk menikmati hidangan ini. Jika anda berkunjung ke Kundasang, singgahlah ke gerai seperti Ayam Madu Wak Ali, Grill Chicken Wing Kundasang Café dan Girik BBQ di Restoran Selera Kebun Soboroong.

4. Jagung Bakar

Jika anda melawat kawasan utara Sabah, seperti Kudat, Pitas dan Kota Marudu, jangan lupa singgah di gerai tepi jalan Kampung Mengaris yang terletak sepanjang laluan Kota Belud – Kudat. Lokasi ini cukup terkenal sebagai tempat persinggahan untuk membeli hasil tani dan kraftangan tempatan. Peniaga biasanya akan menggantung jagung segar dan jagung bakar di gerai mereka. Terdapat dua jenis jagung yang ditanam dan dijual di sini iaitu jagung manis dan jagung pulut. Jagung ini dibakar di atas kayu api sehingga bahagian luarnya terbakar kehitaman. Jagung bakar menjadi kegemaran ramai kerana rasanya manis dan aroma yang memikat, enak dimakan ketika masih panas.

5. Lokan Bakar & Puding Bakar 

Kira-kira 30 minit dari pusat bandar Kota Kinabalu terletaknya Jalan Sulaman, atau juga dikenali sebagai Salut, Tuaran. Kawasan ini terkenal sebagai tempat persinggahan popular untuk menikmati lokan bakar dan puding kelapa. Lokan yang dituai dari kawasan paya bakau berhampiran dibakar di atas arang sehingga cangkerangnya terbuka sendiri, menampakkan isinya yang lembut. Ia biasanya dihidangkan bersama perahan limau dan pencicah cili yang menyedapkan lagi rasa makanan laut ini. Untuk sesuatu yang menyegarkan, puding kelapa sejuk yang diperbuat daripada susu dan air kelapa segar menjadi pilihan ramai. Puding ini boleh dihidangkan dalam tempurung kelapa atau dalam cawan. Gerai-gerai di kawasan ini turut menawarkan kelapa bakar, di mana kelapa dibakar sehingga hitam untuk menghasilkan minuman air kelapa suam beraroma dan unik.

6. Nasi Bakar 

Sekiranya anda ke pantai timur Sabah, anda harus mencuba nasi kuning yang lazat. Biasanya dimakan semasa sarapan atau makan tengah hari, nasi kuning amat mudah didapati dan sering tersedia di atas meja restoran untuk hidangan segera. Seperti nasi lemak, nasi kuning dibungkus dengan daun pisang dan berbau menyelerakan dengan campuran kunyit. Hidangan ini biasanya dihidangkan bersama ayam goreng atau ikan tongkol, telur rebus dan sambal pedas. Makanan ini bukan sahaja murah, malah mengenyangkan. Antara tempat yang disyorkan termasuklah Restoran Haji Tamrin (Tawau), Restoran Sri Rimbawan (Sandakan) dan Mee Tauhu Corner di Kota Kinabalu.

Setiap destinasi di Sabah menawarkan keistimewaan kulinari yang tersendiri, menjadikan setiap persinggahan menarik dengan tempat baharu untuk dicuba. Sama ada anda seorang penggemar makanan atau tidak, menambah pengalaman kulinari dalam setiap perjalanan pasti menyeronokkan. Tip berguna, sentiasalah semak waktu operasi restoran atau kedai makan sebelum berkunjung. Tiada yang lebih mengecewakan daripada tiba dan mendapati ianya tutup. Sama ada anda meneroka pasar yang sibuk, berhenti seketika untuk makan atau menerokai makanan wajib cuba, pilihan makanan Sabah menjanjikan pengalaman yang memuaskan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Sabah, layari www.sabahtourism.com

BBerkaitan

Latest articles