KUALA LUMPUR — YTL Corporation Berhad mencatatkan peningkatan pendapatan kepada RM23.15 bilion bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2025, meningkat 4% daripada RM22.26 bilion yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu. Namun begitu, keuntungan sebelum cukai menurun kepada RM3.18 bilion, berbanding RM3.57 bilion, manakala keuntungan selepas cukai susut kepada RM2.4 bilion daripada RM2.8 bilion tahun sebelumnya.
Dalam satu kenyataan, YTL menyifatkan keputusan ini sebagai cerminan kepada prestasi stabil kumpulan meskipun terdapat penurunan dalam segmen utiliti – terutamanya selepas lonjakan luar biasa yang dicatat tahun lalu hasil penjanaan tenaga di Singapura.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping berkata, “Pemulihan kukuh dalam sub-segmen air dan pembetungan di United Kingdom membantu mengimbangi penyusutan dalam utiliti lain. Selain itu, peningkatan dalam segmen simen dan pembinaan turut menyumbang kepada prestasi positif hasil operasi yang lebih cekap dan penurunan kos pengeluaran.”
Beliau menjelaskan bahawa walaupun segmen pembinaan mencatat peningkatan hasil melalui jumlah kerja lebih tinggi daripada projek pihak ketiga, ia masih merekodkan kerugian berikutan penghapusan keuntungan antara segmen dan lanjutan tempoh bagi projek utama tertentu.
Pelaburan Strategik: Taman Pusat Data Hijau di Johor
Seiring dengan hala tuju transformasi digital dan kelestarian, YTL kini giat membangunkan Taman Pusat Data Hijau YTL di Kulai Young Estate, Johor – yang bakal menjadi kampus pusat data pertama di Malaysia dengan sistem dwi-tenaga, termasuk tenaga solar boleh baharu yang dipasang terus di tapak.
“Fasa pertama taman pusat data kini telah mula beroperasi, dan kerja-kerja pembinaan untuk fasa-fasa seterusnya sedang berjalan lancar,” menurut kenyataan syarikat.
Taman data tersebut dirancang dengan pendekatan mampan dan kecekapan tenaga sebagai teras reka bentuk dan operasinya. YTL menyasarkan untuk memenuhi permintaan pesat di rantau Asia Tenggara terhadap penyelesaian pusat data yang mesra alam, sambil menawarkan alternatif kos efektif kepada pengguna perusahaan dan teknologi global.