KULAI: Malaysia kini melakar sejarah baharu dalam landskap teknologi serantau apabila YTL bersama gergasi teknologi global, NVIDIA, memeterai kerjasama strategik bernilai RM10 bilion bagi membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) berasaskan tenaga hijau.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, projek mega itu akan dibangunkan di YTL Green Data Centre, Kulai, Johor, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab AI dan Pusat Kecemerlangan AI di ASEAN.
“Kerjasama ini bukan sekadar pembangunan infrastruktur, malah akan menghasilkan model bahasa raya (LLM) berdaulat Malaysia, di samping melatih bakat tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berteknologi tinggi seperti saintis data serta jurutera AI,” katanya.
Menariknya, YTL merupakan satu-satunya rakan kongsi NVIDIA Cloud Partner di luar Amerika Syarikat, sebaris dengan nama besar dunia seperti Amazon Web Services (AWS), Google Cloud, Microsoft Azure dan Oracle Cloud.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang, yang menyaksikan perbincangan serius mengenai masa depan ekosistem AI di Malaysia.
Kerjasama strategik ini dilihat sebagai lonjakan penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi digital negara dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam peta teknologi global.