KUALA LUMPUR — YTL Power International Bhd dijangka melancarkan superkomputer pertama di Malaysia yang menggunakan cip Nvidia GB200 Grace Blackwell melalui platform Nvidia DGX Cloud, yang akan mula beroperasi pada suku ketiga 2025.
Naib Presiden dan Pengurus Besar DGX Cloud Nvidia, Alexis Bjorlin, mengesahkan bahawa pelaksanaan projek dari Kampus Pusat Data Hijau YTL berkapasiti 500MW di Johor sedang berjalan “dengan sangat baik”. YTL merupakan rakan awan pertama Nvidia (NCP) di rantau ini.
Bercakap di sidang Nvidia GTC di Taipei, Bjorlin berkata kestabilan bekalan tenaga Malaysia serta keupayaan pembuatannya menjadi faktor utama pelaburan ini. YTL Cloud akan menjadi antara pengguna terawal platform Blackwell Ultra Nvidia di Asia Pasifik lapor portal The Edge.
Pada Mac lalu, Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Seri Yeoh Seok Hong, memaklumkan bahawa kluster Blackwell pertama dijangka mula beroperasi Julai ini, menawarkan keupayaan pengkomputeran awan AI berprestasi tinggi kepada rantau ini.
DGX Cloud ialah platform AI bersatu yang mempercepatkan pembangunan dan pelaksanaan model AI di pelbagai infrastruktur awan. Nvidia tidak memposisikannya sebagai penyedia awan biasa, tetapi sebagai pemecut AI yang beroperasi di atas platform penyedia awan utama.
Bjorlin menjelaskan bahawa DGX Cloud menawarkan fleksibiliti, di mana pengguna boleh membangunkan model dan berpindah ke platform lain selepas itu. “Kami bantu mereka bina aliran kerja dan mereka bebas menjalankannya di mana-mana platform lain,” katanya.
Tambahnya, beban kerja AI memerlukan sistem GPU yang sangat terselaras — sesuatu yang direka khas untuk ditangani oleh DGX, berbeza dengan model awan tradisional.