KUALA LUMPUR – YTL AI Labs hari ini memperkenalkan ILMU, model AI multimodal pertama yang dibangunkan sepenuhnya di Malaysia, sebagai penyelesaian kecerdasan buatan berdaulat (sovereign AI) yang direka khusus untuk bahasa, budaya dan konteks tempatan.
Menurut Yeoh Pei Lou, Pengarah Eksekutif YTL AI Labs, pelancaran ini menandakan pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia membangunkan teknologi AI yang berdikari.
“ILMU adalah 100% dibina di Malaysia, oleh rakyat Malaysia, untuk Malaysia. Ia bukan sahaja memahami teks, malah mampu memproses suara dan visual – dan yang paling penting, ia memahami Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran.
Dibangunkan bersama Universiti Malaya, ILMU dilatih menggunakan set data linguistik dan budaya Malaysia, membolehkan ia mengatasi model AI global dalam kefahaman bahasa Melayu. Yeoh menjelaskan, ILMU menduduki tempat teratas dalam penanda aras MMLU bagi prestasi bahasa Melayu, mengatasi model seperti GPT-5, LLaMA dan DeepSeek.
Dalam ujian global, ILMU setanding atau mengatasi model terkemuka lain, termasuk mengungguli LLaMA 3.1 dalam ujian arahan dunia nyata, dan setaraf dengan GPT-4.0 dalam pematuhan tugasan kompleks. “Ini bukan sekadar soal prestasi – ia soal tujuan,” tegas Yeoh, sambil menjelaskan bahawa ILMU membawa maksud Intelekt, Luhur, Malaysia, Untukmu, mencerminkan asas pembinaannya yang berpaksikan nilai nasional.
Inisiatif ini disokong oleh pelaburan penuh YTL dalam ekosistem AI, termasuk infrastruktur awan AI (AI cloud) dengan kerjasama NVIDIA, serta kolaborasi bersama syarikat tempatan dan antarabangsa. Mulai hari ini, perniagaan boleh mengakses ILMU melalui API, manakala syarikat pemula (start-up) tempatan dan pelabur global yang ingin bertapak di Malaysia boleh memohon Program Pemecut ILMU (ILMU Accelerator Programme) yang menawarkan insentif sehingga AS$1 juta dalam bentuk token.
ILMU Chat, versi awam model ini, dijadualkan dilancarkan pada Hari Malaysia, 16 September 2025.
“Membangun AI berdaulat adalah soal daya tahan,” kata Yeoh. “Ia tentang memastikan AI memberi manfaat kepada rakyat, memelihara identiti nasional, dan melengkapi model global dengan relevansi tempatan.”