“We Will Proceed” – AGC Sahkan Pendakwaan Lima Remaja Terbabit Kes Zara Qairina Esok

KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneruskan pendakwaan terhadap lima remaja perempuan berhubung ugutan komunikasi terhadap pelajar Tingkatan 1, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu esok.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, ketika dihubungi mengesahkan prosiding itu akan dijalankan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan (pindaan 2025) walaupun terdapat rayuan daripada peguam keluarga arwah supaya kes berkenaan ditangguhkan.

“Kita akan teruskan (we will proceed),” katanya ringkas ketika diminta mengulas permohonan yang dikemukakan pagi ini melalui surat rasmi dan e-mel.

Barisan peguam yang mewakili keluarga Zara – Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser, sebelum ini meminta Peguam Negara menimbang untuk mendakwa semua suspek di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman lebih berat.

Mereka berpendapat siasatan tambahan wajar dilakukan sekiranya keterangan sedia ada belum mencukupi bagi membolehkan pendakwaan dijalankan di bawah seksyen tersebut.

“Jika bukti lengkap, kami merayu agar semua tertuduh didakwa mengikut peruntukan yang lebih berat, bukan hanya Seksyen 507C(1),” menurut kenyataan mereka.

Di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai kuasa budi bicara penuh untuk memulakan, meneruskan atau memberhentikan sesuatu prosiding jenayah, kecuali di mahkamah Syariah, anak negeri dan tentera.

Seksyen 507C(1) yang akan digunakan esok berkaitan kesalahan ugutan melalui komunikasi yang menyebabkan gangguan, distres, ketakutan atau kebimbangan, dengan hukuman maksimum penjara setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan inkues bagi menyiasat kematian Zara akan bermula pada 3 September.

Prosiding dijadual berlangsung sehingga 30 September dengan beberapa tarikh bersambung, dikendalikan oleh Koroner Azreena Aziz, yang juga Pengarah Mahkamah Negeri Sabah.

BBerkaitan

Latest articles