Warga Emas Dituduh Rogol Cucu Saudara Usia 9 Tahun

BUTTERWORTH: Seorang warga emas berusia 67 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol cucu saudaranya antara tahun 2022 hingga 2023.

Sabri Bin Saidin, yang merupakan pesara kerani sekolah bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Mengikut laporan Malaysia Gazette, lelaki itu didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia sembilan tahun.

Did didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Permatang Kerai Besar, Kepala Batas di sini, antara 2022 hingga 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan mengambil kira hubungan tertuduh sebagai datuk saudara mangsa selain kediaman mereka berhampiran sekali gus boleh menimbulkan risiko gangguan terhadap mangsa.

Bagaimanapun, peguam Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan yang mewakili tertuduh memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya adalah duda yang kehilangan isteri, mempunyai empat orang anak, selain mengalami masalah kesihatan seperti sesak nafas yang memerlukan rawatan berkala di hospital dan masalah pendengaran.

“Kami mohon jaminan pada kadar minimum serta memberi jaminan bahawa anak guam kami akan akur dengan sebarang syarat tambahan yang ditetapkan oleh mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu lapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa termasuk saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan pada 24 September depan untuk sebutan semula serta laporan perubatan.

BBerkaitan

Latest articles