KUALA LUMPUR: Seorang warden wanita Jabatan Penjara Malaysia maut dalam satu kemalangan ngeri selepas digilis sebuah lori simen yang dipercayai mengalami masalah brek di Lebuh SPA, berhampiran persimpangan pusat pelupusan sampah Sungai Udang, petang semalam.
Mangsa, Sarjan Amal Nurlidar Ghazali, 42, ketika itu sedang berhenti menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz di lampu isyarat sebelum dirempuh dari belakang oleh lori berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata lori dipandu lelaki berusia 49 tahun itu dipercayai mengalami kegagalan brek sebelum terbabas ke bahu jalan dan melanggar mangsa.
“Akibat rempuhan itu, kaki mangsa hancur dan mengalami kecederaan parah pada beberapa anggota badan serta bahagian muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah dikerahkan ke lokasi dan mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mayat mangsa dari bawah lori.
Mayat Amal Nurlidar dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
Christopher turut memaklumkan bahawa kemalangan itu turut dirakam oleh pengguna jalan raya lain menerusi kamera papan pemuka (dashcam), yang kini menjadi bahan bukti siasatan.
Saringan awal air kencing ke atas pemandu lori mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah, namun akan direman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pagi ini bagi membantu siasatan lanjut.
Kenderaan berat itu juga telah ditahan untuk pemeriksaan menyeluruh oleh Puspakom bagi mengenal pasti punca sebenar kegagalan brek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai dan berbahaya.