KUALA LUMPUR: Suasana di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) petang semalam bertukar cemas apabila seorang wanita berusia 35 tahun dilihat cuba terjun dari tiang lebuh raya berhampiran Bangsar, sebelum berjaya diselamatkan dalam oleh pasukan bomba.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 7.22 malam itu mengundang perhatian pengguna jalan raya dan orang awam yang segera menghubungi sistem kecemasan MERS999 selepas melihat kelibat wanita terbabit dalam keadaan tertekan.
“Setibanya pasukan di lokasi, kami dapati seorang wanita berada di atas tiang lebuh raya dengan keadaan emosinya tidak stabil. Keutamaan kami adalah memastikan keselamatannya terjamin,” kata Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mazuri Mat Zin.
Misi menyelamat itu digerakkan oleh 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dan BBP Pantai.
Dengan pendekatan berhati-hati, pasukan bomba berjaya memujuk dan mengawal keadaan sebelum menarik wanita tersebut ke tempat selamat pada jam 7.55 malam.
Menurut Mazuri, wanita tersebut berada dalam keadaan sangat tertekan namun tidak mengalami kecederaan fizikal.
Beliau kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan ambulans untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.39 malam. Ia berlangsung dengan penuh teliti kerana sebarang langkah silap boleh mengundang tragedi,” tambah beliau.
Jika anda atau seseorang yang anda kenali mengalami tekanan emosi, bantuan tersedia.
Hubungi talian Talian HEAL 15555, atau Befrienders KL di 03-76272929.