KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa UMNO tidak akan sekali-kali meninggalkan rakan-rakan komponennya dalam Barisan Nasional (BN) termasuk MCA, MIC dan Friends of BN meskipun berdepan pelbagai cabaran politik semasa.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, dalam keadaan sukar ketika ini, adalah penting untuk semua parti dalam BN terus kekal bersatu dan tidak mengambil langkah terburu-buru seperti mengugut untuk keluar daripada gabungan.
“Saya beritahu rakan-rakan komponen, masa ini mereka pun susah — MIC hanya satu kerusi, MCA dua kerusi dan PBRS satu kerusi di Sabah. Kita dalam UMNO pun susah juga, hanya tinggal 26 kerusi, sedangkan dulu pernah lebih seratus.
“Dalam sama-sama susah ini, UMNO tidak akan meninggalkan MCA, MIC, PBRS atau Friends of BN. Ini cara kita, jangan masa susah nak ugut keluar,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang.
Mengulas dakwaan parti komponen BN seperti MCA dipinggirkan dalam soal agihan kerusi, Ahmad Zahid menegaskan MCA dan MIC tetap diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi tradisi majoriti Melayu.
“Di mana kerusi majoriti Melayu kita tak bagi pada MCA? Tanjung Piai kerusi Melayu, Ayer Hitam pun kerusi Melayu. Kita beri sebab kita menghormati MCA sebagai rakan BN yang setia sejak dulu.
“Begitu juga MIC, semua kerusi yang kita beri untuk mereka bertanding adalah kerusi majoriti Melayu,” katanya.
Sebelum ini, bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker dilapor menggesa agar parti itu tidak diketepikan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), termasuk meminta diberikan peluang bertanding di kawasan majoriti Melayu untuk membuktikan kerelevanannya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut menggesa pihak yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berundur agar menghormati proses demokrasi serta sistem perundangan negara.
Beliau menegaskan Anwar kini memegang sokongan kukuh melebihi dua pertiga Dewan Rakyat.
“Anwar ada sokongan 153 Ahli Parlimen, lebih dua pertiga. Jadi eloklah kita hormati proses demokrasi yang berjalan di negara ini,” katanya.