KUALA LUMPUR: UMNO akan mempertimbangkan usul bagi menarik balik penggantungan keahlian bekas Naib Presidennya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, menjadi tradisi dan amalan kepimpinan parti untuk meneliti setiap usul yang dikemukakan oleh bahagian-bahagian UMNO sempena mesyuarat perwakilan.
“Itu adalah usul yang dibawa oleh satu daripada keseluruhan 191 bahagian UMNO di seluruh negara.
“Seperti bahagian-bahagian lain, usul itu akan dihantar ke Ibu Pejabat UMNO untuk dikaji dan dipertimbangkan sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, semalam.
Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, setakat ini UMNO belum menerima sebarang rayuan daripada bekas pemimpin kanan negara itu, namun usul penarikan semula penggantungan tersebut tetap akan diteliti dan dipertimbangkan.
“Buat masa ini, hanya terdapat usul, dan kita akan pertimbangkannya. Sama ada individu tersebut (Hishammuddin) telah menghantar rayuan atau tidak, saya tidak mahu mengulas lanjut,” katanya.
UMNO Bahagian Sembrong, pada Sabtu membawa usul supaya penggantungan Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa sebarang syarat.
Ketua UMNO Bahagian Sembrong Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid berkata, ini merupakan tahun kedua usul itu dibawa oleh bahagian berkenaan, selaras dengan kehendak majoriti ahli perwakilan yang mahu Hishammuddin kembali aktif dalam parti.
Untuk rekod, Hishammuddin dikenakan penggantungan keahlian selama enam tahun bermula 27 Jan 2023.