AUCKLAND, 4 Julai – Gara-gara sebiji epal yang dibawa tanpa disedari, pelakon senior Umie Khalsum berdepan denda sebanyak NZD400 (kira-kira RM1,024) oleh pihak berkuasa biosekuriti New Zealand sejurus tiba di Lapangan Terbang Auckland, baru-baru ini.
Umie, atau nama penuhnya Umi Khalsum Rahmad Ali, 51, menceritakan insiden itu menerusi satu video di Instagram miliknya, menyifatkannya sebagai “takdir” yang perlu diterima.
“Saya memang tak bawa apa-apa makanan ke New Zealand kerana mahu mudahkan urusan di kaunter imigresen,” katanya.
Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa insiden itu berlaku secara tidak sengaja apabila beliau mengambil sebiji epal dari lounge Malaysia Airlines untuk dinikmati dalam penerbangan, tetapi tertidur akibat keletihan dan terlupa tentang buah tersebut.
View this post on Instagram
“Apabila sampai di New Zealand, mereka imbas beg dan jumpa epal. Jadi kita kena denda,” jelasnya.
Difahamkan, Umie berada di New Zealand bagi menjalani penggambaran sebuah drama bersiri bersama beberapa pelakon popular tanah air termasuk Nora Danish, Datuk Remy Ishak dan Fattah Amin.
New Zealand terkenal dengan peraturan ketat berkenaan biosekuriti dan tidak membenarkan sebarang kemasukan makanan mentah atau hasil pertanian tanpa pengisytiharan, bagi mengelakkan risiko kepada ekosistem tempatan.