KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini sedang berehat di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami keletihan pagi tadi ketika menghadiri satu program santai di Putrajaya.
Perkara itu disahkan oleh pembantu beliau, Sufi Yusoff, yang memaklumkan Dr Mahathir dibawa ke IJN sekitar jam 10 pagi bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
“Ya, betul Tun keletihan. Beliau tinggalkan majlis lebih awal dan kini sedang berehat di IJN. Keadaannya baik, cuma dinasihatkan supaya berehat,” katanya.
Menurut Sufi lagi, Dr Mahathir yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada 10 Julai lalu, dijangka keluar dari IJN pada petang ini.
Terdahulu, Dr Mahathir hadir ke program “Picnic & Potluck” yang dianjurkan khas sempena sambutan ulang tahun kelahiran beliau yang ke-100 dan juga ulang tahun ke-99 isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Beliau yang tiba seawal jam 7.45 pagi dengan memandu sendiri, sempat mengayuh basikal kira-kira 30 minit di sekitar Tasik Putrajaya sebelum kelihatan letih dan mengambil keputusan meninggalkan majlis lebih awal.
Beberapa rakaman video yang tular di TikTok memaparkan Dr Mahathir duduk berehat dengan wajah sedikit letih selepas berbasikal.
Dr Mahathir sebelum ini pernah menjalani beberapa prosedur berkaitan jantung termasuk pembedahan pintasan koronari pada tahun 1989 dan 2007.
Bagaimanapun, keadaan beliau kini dilaporkan stabil.