KUALA LUMPUR: Genap 100 tahun hari ini, bekas Perdana Menteri dua kali Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak pernah percaya konsep ‘berehat’ sepenuhnya selepas bersara.
Dalam podcast khas ulang tahun kelahirannya ke-100 pagi tadi, Dr Mahathir berkata, selagi hidup, seseorang tidak sepatutnya hanya duduk diam menunggu saat meninggal dunia.
“Saya tak tahu macam mana orang boleh rehat kononnya dah bersara, duduk diam, sedia untuk mati. Sedia tak sedia, kita akan mati juga. Jadi saya buat persediaan, tapi dalam masa sama tetap buat perkara lain,” katanya.
Beliau yang muncul secara langsung dalam episod ke-10 Podcast Dr. M bersama wartawan Shamsul Akmar turut berkongsi bagaimana perjuangan panjangnya selama ini juga dianggap sebagai satu bentuk ibadah.
Dr Mahathir mengakui sejak kecil beliau hairan melihat mengapa orang Islam menderita sedangkan orang bukan Islam pula menikmati kemakmuran.
“Bila baca al-Quran dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, saya dapati banyak larangan Allah kita tak hirau. Suruh kita buat, kita tak buat. Sebab tu kita gagal,” katanya lagi.
Beliau percaya jika umat Islam benar-benar berpandu kepada ajaran al-Quran, kehidupan akan jadi lebih adil, tidak zalim dan tidak menipu.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan sempena ulang tahun Tun Mahathir turut mendoakan agar negarawan itu terus dikurniakan kesejahteraan dan ketenangan jiwa.
“Gaya hidup sihat Tun serta amal bakti yang tidak pernah terhenti menjadi teladan kepada sebuah negara yang sedang menua, namun tetap mempunyai harapan tinggi,” kata Anwar dalam satu hantaran Facebook.
Tun Mahathir yang dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar, Kedah merupakan Perdana Menteri Malaysia paling lama berkhidmat selama 22 tahun (1981-2003) dan kembali memimpin pada 2018.
Sepanjang kepimpinannya, pelbagai projek mega diwujudkan termasuk Menara Berkembar Petronas, PLUS, KLIA, Putrajaya dan Proton.
Meskipun sudah bersara, beliau kekal lantang memberi pandangan terhadap isu negara.