Tular Video Pelajar Dipukul Di Pusat Beli-Belah, Empat Remaja Ditahan

KAJANG: Empat pelajar Tingkatan Satu ditahan polis selepas video memaparkan mereka menampar dan memukul rakan sekelas di sebuah pusat beli-belah di Kajang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kesemua suspek berusia 13 tahun itu ditahan sekitar Bandar Kajang jam 8.35 malam tadi dan direman selama dua hari sehingga 2 Ogos bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 30 Julai lalu sekitar jam 11 pagi ketika mangsa bersama rakannya berada di pusat beli-belah tersebut sebelum dipanggil untuk “berbincang” oleh beberapa pelajar yang tidak berpuas hati dengan sikapnya.

“Dua pelajar lelaki berpakaian seragam sekolah bertindak memukul mangsa, manakala dua lagi merakam kejadian menggunakan telefon bimbit. Mangsa mengalami kecederaan ringan di muka dan telah mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Beliau turut mengingatkan para pelajar agar tidak terlibat dalam sebarang perbuatan ganas yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

“Polis memandang serius isu ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahrulhasram Ramli di talian 017-2530380 atau mana-mana balai polis berhampiran.

BBerkaitan

Latest articles