PUTRAJAYA: Kerajaan Perpaduan akan menyalurkan bantuan kewangan tambahan secara segera kepada semua mangsa dan waris tragedi ngeri kemalangan bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik-Jeli pada Isnin lalu.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setiap keluarga mangsa yang terkorban akan menerima RM10,000, manakala mangsa yang cedera bakal menerima RM5,000 sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap musibah yang menimpa mereka.
“Perdana Menteri telah memaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri bahawa bantuan tambahan ini akan disalurkan segera,” katanya dalam sidang media mingguan.
Kemalangan yang berlaku sekitar 1.30 pagi Isnin melibatkan bas sewa khas membawa 48 pelajar UPSI dari Jertih ke Tanjung Malim, terbabas sebelum melanggar sebuah Perodua Alza di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat.
Nahas itu mengorbankan 15 pelajar manakala 33 lagi mengalami kecederaan, termasuk pemandu dan kelindan bas serta empat orang dari MPV.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Jabatan Peguam Negara menyemak aspek perlindungan insurans terhadap semua mangsa.
“Kerajaan mahu memastikan mangsa serta waris mereka mendapat pampasan yang sewajarnya dan tidak dibiarkan terabai,” katanya.
Sebagai langkah tambahan, hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi pelajar yang maut akan dilupuskan sepenuhnya.
Langkah-langkah ini, menurut Fahmi, menunjukkan kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam memberikan perhatian dan tindakan segera terhadap isu melibatkan keselamatan dan kebajikan pelajar institusi pengajian tinggi.
“Ini bukan hanya bantuan kewangan, tetapi tanda simpati dan penghormatan negara kepada mereka yang terkorban dan terkesan,” tambah beliau.