TNB Labur RM43 Bil Untuk Naik Taraf Grid Nasional

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan komitmen Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melabur RM43 bilion bagi menaik taraf infrastruktur grid nasional, termasuk pengintegrasian kecerdasan buatan (AI) dan sistem penyimpanan tenaga bateri demi memperkukuh daya tahan dan fleksibiliti sistem tenaga negara.

Dalam ucap tama beliau di Persidangan Energy Asia 2025, Anwar menegaskan bahawa peralihan tenaga perlu dilaksanakan dengan adil dan saksama, agar tidak meminggirkan golongan berpendapatan rendah atau rentan.

“Kita mesti melabur untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pelepasan dalam sistem tenaga sedia ada, walaupun bahan api fosil masih menyumbang hampir 80% daripada bekalan global,” katanya, sambil menekankan bahawa usaha penyahkarbon tanpa sensitiviti sosial boleh meningkatkan jurang ketidaksamaan.

Anwar turut memuji kemajuan rantau Asean dalam menyusun pelan peralihan tenaga melalui Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) yang mempermudah aliran modal dan karbon merentas sempadan.

Malaysia, katanya, menunjukkan kepimpinan melalui kelulusan Rang Undang-Undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025, yang meletakkan asas kawal selia bagi industri baharu ini.

“Petronas menerajui langkah dengan merancang untuk membangunkan tiga hab CCS di perairan luar pantai negara, bukan sahaja untuk sektor minyak dan gas, malah juga industri intensif karbon,” jelasnya.

Menurut Anwar, lebih 10 rakan antarabangsa termasuk dari Jepun, Korea Selatan, dan syarikat tenaga global seperti Total dan Shell sedang bekerjasama dengan Malaysia dalam pembangunan teknologi CCS.

Petronas juga menjalin kerjasama strategik dengan syarikat seperti ENEOS Corporation, Mitsubishi, dan JX Nippon untuk meneroka pengangkutan dan penyimpanan karbon dioksida dari Teluk Tokyo ke Malaysia.

“CCS bukan hanya alat utama penyahkarbonan, tetapi juga membuka potensi kepada aliran pendapatan baharu bagi negara dan rantau ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles