Tiada Unsur Nepotisme, Saman Fitnah Dzulkefly-Najib Selesai

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah melibatkan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak akhirnya diselesaikan secara damai selepas melalui dua hari perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahazan Mat Taib merekodkan penyelesaian tersebut pada hari ketiga prosiding, sambil merakamkan penghargaan kepada kedua-dua pihak kerana mencapai kata sepakat tanpa meneruskan perbicaraan penuh.

Dalam kenyataan yang dibacakan di mahkamah, Najib mengakui bahawa Dzulkefly tidak terlibat dalam pelantikan anak perempuannya, Nurul Iman, sebagai ahli lembaga pemegang amanah Amanah Ikhtiar Malaysia pada Oktober 2018.

“Saya terima bahawa beliau tidak terlibat dalam pelantikan (Nurul Iman) dan tidak wujud unsur nepotisme di pihak beliau. Saya ingin menjelaskan bahawa hantaran tersebut tidak berniat untuk memfitnah, mahupun memberi gambaran bahawa plaintif seorang yang korup atau terlibat dengan amalan nepotisme dan kronisme.

“Sebaliknya, ia bertujuan membangkitkan persepsi mengenai wujudnya berat sebelah dalam kalangan parti politik,” katanya.

Menurut Najib, hantaran Facebook yang dimuat naik pada 2020 itu adalah ulasan politik umum berkaitan isu tadbir urus, pentadbiran serta pelantikan dalam entiti berkaitan kerajaan yang menjadi perdebatan awam ketika itu.

“Walaupun hantaran saya ialah ulasan politik, saya akui tekanan yang telah dialami oleh Dzulkefly dan keluarganya, yang mana ia tidak pernah menjadi niat saya sama sekali.

“Atas semangat melangkah ke hadapan secara membina, saya ucapkan selamat maju jaya kepada beliau dalam meneruskan khidmat buat rakyat dan negara, serta memanjangkan ucapan tulus ikhlas ini kepada beliau sekeluarga,” katanya lagi.

Sementara itu, Mahazan turut memuji pendekatan kedua-dua pihak dalam menamatkan pertikaian tersebut secara baik, menyifatkannya sebagai langkah bertanggungjawab.

“Saya hargai usaha kedua-dua pihak dalam menyelesaikan perkara ini, terutamanya bagi kes kepentingan awam yang melibatkan pihak-pihak berprofil tinggi,” katanya.

Terdahulu, Dzulkefly memfailkan saman berjumlah RM5 juta pada Januari 2022, mendakwa hantaran Facebook bertarikh 24 Ogos 2020 oleh Najib telah mencemarkan reputasinya dengan mengaitkannya dengan amalan nepotisme.

Dalam pembelaannya, Najib menegaskan hantaran tersebut merujuk kepada gabungan politik secara umum, bukannya ditujukan khusus kepada Dzulkefly.

Dzulkefly diwakili peguam Stanley Sabastien Sinnappen, manakala Najib diwakili Shafee Abdullah bersama Farhan Shafee.

BBerkaitan

Latest articles