Tiada Tolak Ansur Dalam Siasatan Kematian Zara Qairina – Anwar

KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa siasatan berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, akan dijalankan secara telus dan tanpa sebarang kompromi.

Anwar menegaskan, kes tersebut tidak boleh dipandang ringan dan kerajaan sama sekali tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat, tanpa mengira status atau kedudukan.

“Kita tak pandang ringan dan arahan kita jelas, tiada tolak ansur. Macam-macam orang bercerita, kata anak TYT lah, menteri lah… saya tak peduli. Tapi jangan fitnah.

“Ini soal kematian, tak kiralah anak orang miskin atau kaya, bukan mainan. Kalau keluarga saya terbabit pun, sudah tentu ingin tahu puncanya,” katanya pada satu program, hari ini.

Perdana Menteri turut mengingatkan orang ramai agar tidak mempolitikkan kes ini atau membuat spekulasi yang boleh mengundang fitnah.

Kenyataan itu hadir susulan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan, dengan tujuan mendapatkan bukti tambahan untuk melengkapkan siasatan polis.

Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya.

BBerkaitan

Latest articles