PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tiada rombakan Kabinet akan dilakukan dalam masa terdekat susulan peletakan jawatan dua menteri dari PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurut Anwar, kedua-dua menteri tersebut masih dalam tempoh bercuti dan sebarang pengganti hanya akan diumumkan selepas mereka tamat cuti rasmi.
“Tiada rombakan (buat masa ini), mereka masih cuti. Menteri tak boleh diganti semasa masih dalam cuti,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Puspanitapuri, hari ini.
Semalam, Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mengumumkan peletakan jawatannya yang berkuat kuasa 17 Jun, dengan cuti tahunan bermula serta-merta hingga 16 Jun.
Turut meletakkan jawatan ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang mengesahkan pengundurannya akan berkuat kuasa 4 Julai.
Beliau kini bercuti hingga 3 Julai.
Kedua-dua menteri kanan PKR itu mengumumkan keputusan mereka selepas tewas dalam pemilihan parti sempena Kongres Nasional PKR 2025.
Rafizi gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden manakala Nik Nazmi tewas bagi kerusi Naib Presiden.
Keputusan tersebut mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai penyusunan semula Kabinet, namun kenyataan Anwar hari ini mengesahkan tiada perubahan segera akan berlaku.