PAPAR: Polis menafikan sebarang penglibatan ahli keluarga Yang di-Pertua Negeri Sabah atau anak mana-mana individu kenamaan (VIP) dalam kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan terperinci yang dijalankan sehingga kini tidak menemui sebarang bukti mengaitkan mana-mana pihak berprofil tinggi seperti yang didakwa di media sosial.
“Kami ingin menegaskan bahawa tiada ahli keluarga Yang di-Pertua Negeri atau anak VIP yang terlibat. Orang awam diminta tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, polis memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan adil, tanpa sebarang campur tangan luar.
Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, ditemukan dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sekolah sekitar jam 3 pagi, 16 Julai lalu.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 1 tengah hari keesokan harinya.
Polis sebelum ini memaklumkan siasatan dijalankan dari pelbagai sudut, termasuk kemungkinan unsur jenayah atau kecuaian.