Terlepas Penerbangan Berlaku Selisih Faham Dengan Isteri Menjadi Punca Seorang Warganegara Asing Mengamuk Di KLIA

SEPANG, Seorang lelaki warganegara asing bertindak agresif sehingga mencederakan anggota keselamatan dan merosakkan kemudahan awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) dalam kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah KLIA, Ravi A/L Munusamy berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan pada 5 April 2026 kira-kira jam 10.30 pagi di Kaunter Pertukaran Antarabangsa KLIA 2 selepas menerima maklumat berhubung insiden berkenaan.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit yang sedang menunggu penerbangan transit ke Hatyai, Thailand dipercayai terlepas penerbangan sebelum berlaku perselisihan faham dengan isterinya berkaitan isu penjagaan anak.

“Suspek kemudiannya bertindak agresif dengan menghentak cermin kaunter, mengetuk papan tanda penerbangan hingga patah serta membaling botol minuman ke arah kaunter,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, tindakan tersebut turut menyebabkan seorang anggota keselamatan yang bertugas mengalami kecederaan.

Kes itu kemudian dibawa ke Mahkamah Sepang pada 7 April 2026, di mana tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

“Bagi kesalahan tersebut, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil, denda sehingga RM100 boleh dikenakan,” katanya.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan pihak keselamatan dan tidak bertindak di luar kawalan sehingga mencetuskan kegusaran di tempat awam, khususnya di terminal KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2.

BBerkaitan

Latest articles