“Terlalu Sibuk, Belum Sedia Kembali” – KJ Jawab Spekulasi Sertai Kabinet Anwar

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau tidak merancang untuk kembali ke arena politik negara dalam masa terdekat, termasuk menyertai semula Kabinet.

Menurut Khairy, beliau kini sedang menumpukan sepenuh perhatian kepada pelbagai projek dan komitmen profesional yang memerlukan fokus sepenuhnya sehingga hujung tahun ini.

“Saya ada banyak kerja yang perlukan tumpuan, dan saya gembira dengan apa yang saya lakukan sekarang. Sekurang-kurangnya hingga akhir tahun ini, saya tidak terfikir untuk kembali ke politik,” katanya ketika ditemui selepas forum kesihatan di Universiti Malaya hari ini.

Kenyataan itu hadir susulan spekulasi namanya bakal dilantik sebagai menteri melalui Dewan Negara, bagi mengisi kekosongan selepas peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi.

Menurut laporan, tempat Datuk Seri Johari Ghani yang disebut menggantikan Rafizi – dikatakan akan diisi oleh Khairy.

Bagaimanapun, Khairy yang dipecat daripada UMNO pada Januari 2023, menegaskan beliau tidak terlibat dengan sebarang rundingan politik ketika ini dan hanya fokus pada urusan di luar politik.

Pelantikannya, sekiranya berlaku, dikhabarkan akan menggunakan kuota teknokrat tanpa mewakili mana-mana parti, namun tetap memerlukan pertimbangan daripada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

BBerkaitan

Latest articles