Tender MyKiosk: Tiada Unsur Jenayah, Hanya Fokus Tatakelola

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan dalam siasatan terhadap projek MyKiosk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan kes tersebut lebih tertumpu kepada aspek tatakelola pentadbiran, bukannya kesalahan jenayah seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan lebih tertumpu kepada aspek tatakelola. Terdapat kekeliruan apabila ada pihak mendakwa SPRM menyiasat kes jenayah dalam projek ini. Kita sebenarnya mahu memastikan KPKT boleh memperkukuh tatakelola mereka,” katanya ketika ditemui media.

Semalam, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan dibuat susulan laporan sebuah parti politik berhubung dakwaan wujudnya rasuah dan penyelewengan dalam tender projek MyKiosk.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus berkata, SPRM memberi tumpuan kepada dua aspek utama iaitu pengesanan rasuah dan penyelewengan dalam proses tender.

Mei lalu, Pemuda MCA Selangor membuat laporan kepada SPRM mempersoalkan kos projek bernilai RM250 juta itu, mendakwa hanya lebih separuh kiosk digunakan selain harga dikatakan tidak munasabah.

Ketua Pemuda MCA Selangor, Tan Jie Sen mendakwa kerajaan membayar antara RM25,000 hingga RM34,000 seunit, sedangkan harga pasaran dianggarkan hanya sekitar RM12,800.

Namun Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menjelaskan angka RM25,000 termasuk kos lengkap pemasangan seperti panel solar, kipas, dapur, pengangkutan serta kerja pemasangan, bukannya harga kios semata-mata.

KPKT sebelum ini turut secara sukarela menyerahkan semua dokumen berkaitan projek MyKiosk kepada SPRM bagi memastikan proses berjalan telus tanpa unsur salah guna kuasa.

MyKiosk merupakan program kerajaan bagi menyediakan kiosk sewaan rendah untuk usahawan kecil tempatan dalam usaha meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi rakyat.

Sehingga Disember 2024, sebanyak 7,243 unit kiosk telah diluluskan di 133 pihak berkuasa tempatan, memberi manfaat kepada lebih 7,000 keluarga di seluruh negara.

BBerkaitan

Latest articles