KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka membincangkan isu panas tarif import 25% yang bakal dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia mulai 1 Ogos ini, dalam mesyuarat Kabinet esok.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani, berkata kerajaan Malaysia melalui Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, telah mengadakan rundingan dengan AS selepas tempoh penangguhan selama 90 hari sebelum ini.
“AS beri tempoh lanjutan (rundingan) sehingga 1 Ogos depan. Pada masa sama, mereka naikkan kadar tarif import daripada 24% kepada 25%. Jadi kita tunggu dan Kabinet dijangka akan membincangkan isu ini esok,” katanya.
Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini mengumumkan tarif import 25% terhadap Malaysia kononnya bagi melindungi industri tempatan Amerika daripada apa yang digelarnya sebagai amalan perdagangan tidak adil.
Dalam ucapan pada 2 April lalu, Trump memperkenalkan langkah digelar ‘tarif hari pembebasan’, melibatkan kadar asal 24% ke atas import dari Jepun dan 25% terhadap Korea Selatan. Malaysia antara negara yang terkena tempias.
Bagaimanapun, pentadbiran Trump memberi ruang untuk rundingan selama 90 hari, yang dijadual berakhir pada 1 Ogos ini.
Menerusi surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Trump menegaskan kadar tarif 25% terhadap barangan Malaysia sebenarnya “jauh lebih rendah” daripada apa yang diperlukan untuk menamatkan defisit perdagangan Amerika Syarikat dengan Malaysia.
Trump juga memberi amaran tegas bahawa sebarang cubaan mengalihkan barangan melalui negara ketiga untuk mengelak tarif, bakal menyebabkan Malaysia dikenakan kadar tarif lebih tinggi.
Sementara itu, Johari memberi jaminan kerajaan komited memastikan kepentingan eksport negara termasuk komoditi sawit, getah dan perabot terus dipertahankan dalam rundingan dengan AS.