Tarif Air Baharu Di Selangor Bermula 1 Sept

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor mengumumkan penstrukturan semula tarif air bermula 1 September, dengan penekanan kepada kategori penggunaan tinggi seperti pusat data yang kini dikenakan caj baharu sebanyak RM5.31 per meter padu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah ini dibuat bagi menampung kos operasi dan pembaikan infrastruktur, namun kadar minimum bagi pengguna domestik biasa kekal tidak berubah.

“Tiada perubahan untuk isi rumah yang menggunakan kurang 20 meter padu air sebulan. Mereka akan terus dikenakan caj RM0.65 per meter padu, dengan bayaran minimum bulanan sebanyak RM6.50,” katanya dalam sidang media.

Kenaikan hanya melibatkan pengguna yang menggunakan lebih banyak air:
• 20–35 meter padu: RM1.62/m³ (naik 30 sen)
• Lebih 35 meter padu: RM3.51/m³ (naik 88 sen)
• Kondominium, estet & kuarters kerajaan: RM2.09/m³ (naik 41 sen)
• Komersial dan bukan domestik: RM3.51/m³ (naik 57 sen)
• Rumah ibadat & institusi kebajikan: RM0.76/m³ (naik 10 sen)
(kos tambahan ini akan ditanggung kerajaan negeri dengan peruntukan RM100,000 setahun)

Tarif ini melibatkan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang menerima bekalan daripada Air Selangor.

Kenaikan tarif ini menurut Amirudin, penting bagi menyokong pelaburan jangka panjang, termasuk penggantian 1,600km paip lama (sebahagian besar diperbuat daripada asbestos), kadar penggantian paip ditingkatkan kepada 300km setahun, pembinaan dua loji rawatan air baharu iaitu LRA Rasau (RM7.67 bilion) dan LRA Labohan Dagang 2 (RM479.5 juta) serta tambahan kapasiti bekalan sebanyak 2,730 juta liter sehari.

Kerajaan negeri turut mengekalkan Skim Air Darul Ehsan yang memberikan 20 meter padu air percuma kepada lebih 1.3 juta penduduk berpendapatan rendah.

“Had pendapatan isi rumah untuk layak menerima skim ini dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan,” jelas Amirudin.

Sebanyak RM52.7 juta diperuntukkan setiap tahun bagi menampung subsidi ini dan memastikan kos penyelenggaraan tidak membebankan golongan rentan.

Tarif baharu ini telah mendapat kelulusan daripada Jemaah Menteri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

BBerkaitan

Latest articles