KEMAMAN: Hanya kerana makan roti tanpa kebenaran, seorang pelajar tahfiz menjadi mangsa amarah warden sehingga cedera dan kini, warden berkenaan terpaksa membayar harga atas tindakannya.
Mohd Norzaizhul Zainudin, 41, didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret Kemaman hari ini selepas mengaku bersalah menampar pelajar lelaki berusia 16 tahun di sebuah pusat tahfiz di sini pada April lalu.
Mengikut pertuduhan, Mohd Norzaizhul menampar muka mangsa di bahagian kiri dan kanan dalam kejadian yang berlaku pada pukul 3.45 petang, 26 April lalu di asrama pusat tahfiz berkenaan.
Difahamkan, warden terbabit berang selepas mendapati pelajar itu memakan roti keping yang sepatutnya menjadi sarapan semua pelajar keesokan hari.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi, manakala tertuduh diwakili peguam Masliela Ismail.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.