KUALA LUMPUR: UMNO menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan Peguam Negara untuk menghalang pendengaran semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung titah adendum.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menyifatkan keputusan itu memberi kelegaan kepada usaha parti dalam memperjuangkan keadilan untuk bekas Perdana Menteri tersebut.
“UMNO akan terus beriltizam menggunakan semua saluran yang ada bagi memastikan pembelaan yang sewajarnya untuk Najib,” katanya selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini.
Terdahulu, mahkamah memutuskan secara sebulat suara untuk menolak rayuan Peguam Negara, sekali gus membolehkan Najib meneruskan permohonan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan mengemukakan titah adendum.
Berikutan itu juga, hasrat Najib, 72, untuk meneruskan semakan kehakiman ini bagi mendapatkan perintah mandamus supaya menjalani baki hukuman penjara di rumah akan diteruskan.
Barisan peguam Najib juga masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan pengampunan kali kedua, kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Selain mempercepatkan prosiding, pasukan pembelaan Najib tidak menolak untuk membongkarkan punca mengapa dokumen berkaitan titah adendum daripada Istana Pahang tertangguh lebih setahun untuk dibentangkan.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata pihaknya akan memohon perintah ‘discovery’ bagi mendapatkan dokumen lengkap, selain mengemukakan ‘interrogatory’ untuk memaksa pihak lawan memberi penjelasan bertulis mengenai kelewatan tersebut.