KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa susulan nahas ngeri yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kemalangan membabitkan lori pasir di Teluk Intan, Perak.
Baginda menggesa tindakan segera dan lebih tegas diambil terhadap pemandu serta syarikat kenderaan berat yang cuai, termasuk menarik balik lesen mereka jika terbukti menjadi punca kemalangan maut atau menyebabkan kecederaan parah.
“Baginda menzahirkan rasa amat sedih dan kesal terhadap tragedi menyayat hati ini, lebih-lebih lagi selepas berulang kali menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kemalangan melibatkan kenderaan berat,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook rasmi hari ini.
Titah baginda, hukuman denda atau penjara sahaja tidak memadai.
Langkah lebih keras seperti membatalkan lesen memandu juga perlu dipertimbangkan demi memberi pengajaran kepada pemandu dan pengusaha syarikat pengangkutan.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Hajah Norashikin turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga sembilan anggota FRU yang terkorban.
Mereka terbunuh dalam kejadian tragis jam 8.50 pagi kelmarin apabila trak dinaiki bertembung dengan lori membawa muatan pasir ketika dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan. Sembilan lagi anggota cedera.
Sultan Selangor turut menitahkan agar syarikat yang mengendalikan lori, bas dan kenderaan berat melaksanakan penilaian lebih ketat terhadap latar belakang pemandu serta kelayakan teknikal mereka.
“Baginda mengingatkan semua pihak agar tidak menutup sebelah mata terhadap kondisi kenderaan dan rekod pemandu yang boleh mencetuskan kecuaian dan membahayakan nyawa,” jelas kenyataan itu.
Baginda turut berharap agar tragedi seperti ini tidak lagi berulang, lebih-lebih apabila melibatkan individu yang sedang menjalankan tugas demi keamanan negara.
“Sudah tiba masanya negara mengambil pendekatan lebih berani dan berprinsip dalam menangani kecuaian yang meragut nyawa di jalan raya,” tegas kenyataan itu.