Steven Sim Tegaskan Kepimpinan Inklusif KUSKOP, Janji Bela Semua Usahawan Tanpa Mengira Kaum

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang baharu, Steven Sim Chee Keong menegaskan bahawa prinsip kepimpinannya berteraskan keadilan dan keupayaan menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama.

Beliau berkata, pendekatan tersebut merupakan pegangan dan amalan yang diyakininya sebagai ciri utama seorang pemimpin Malaysia yang baik.

Kenyataan itu dibuat ketika diminta mengulas pandangan bekas Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar, pada sidang media selepas sesi Taklimat Pengurusan Tertinggi kementerian berkenaan, sempena hari pertama beliau menerajui KUSKOP.

Steven Sim turut menyatakan keyakinan bahawa timbalannya, Datuk Mohamad Alamin daripada UMNO, berkongsi prinsip yang sama dalam memastikan kepentingan semua lapisan masyarakat diberi perhatian sewajarnya.

Menurut beliau, pendekatan inklusif itu bukan sekadar retorik, sebaliknya telah dibuktikan ketika beliau menerajui Kementerian Sumber Manusia sebelum ini, apabila kebajikan pekerja dipertahankan secara menyeluruh tanpa sebarang diskriminasi kaum atau agama.

Terdahulu, Noh dalam kenyataan medianya melahirkan kebimbangan terhadap pelantikan menteri baharu KUSKOP susulan rombakan Kabinet, dengan mempersoalkan masa depan usahawan Bumiputera.

Beliau mendakwa penyerahan portfolio itu kepada wakil DAP, yang sering memperjuangkan agenda kesamarataan dan mempertikaikan Dasar Ekonomi Baharu, menimbulkan tanda tanya terhadap pembelaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera.

Mengulas perkara itu, Steven Sim menjelaskan bahawa sejak hari pertama memegang jawatan, kementerian telah mengambil pelbagai langkah bagi memperkukuh sokongan terhadap perniagaan tempatan.

Katanya, matlamat utama KUSKOP adalah memajukan perniagaan Malaysia secara menyeluruh.

“Apabila perniagaan Malaysia berkembang, manfaatnya akan dirasai oleh rakyat dan pekerja Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen berterusan KUSKOP untuk memperkasa ekosistem keusahawanan negara sebagai teras kepada kesejahteraan ekonomi rakyat.

BBerkaitan

Latest articles