PUTRAJAYA: Buat pertama kalinya sejak 15 tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock atas insiden tragis yang menimpa mereka.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, walaupun siasatan terbaharu tidak menemui bukti mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu, SPRM tetap memandang serius insiden kematian Beng Hock yang ditemui meninggal dunia di premis SPRM Selangor pada 16 Julai 2009.
“Ia merupakan satu insiden hitam yang memberi kesan besar bukan sahaja kepada waris mendiang, malah seluruh warga SPRM dan juga negara.
“Atas dasar keprihatinan, saya ingin menzahirkan simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang atas penderitaan yang telah ditanggung selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain permohonan maaf, SPRM turut bersedia menyalurkan sumbangan ihsan kepada keluarga mendiang untuk tujuan kebajikan serta perbelanjaan pendidikan anak Beng Hock, dalam jumlah yang akan ditentukan kemudian.
Azam berkata SPRM mengiktiraf keputusan pelbagai siasatan termasuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2011, keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014 serta siasatan terbaharu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara.
Beliau turut menegaskan bahawa sejak kejadian itu, SPRM komited melakukan pelbagai penambahbaikan bagi memastikan kebajikan mana-mana individu yang hadir membantu siasatan sentiasa terpelihara.
Antaranya termasuk:
• Mewujudkan Bilik Rakaman Bervideo (VIR) untuk merekod kenyataan saksi.
• Menyediakan bilik temu bual saksi di aras bawah untuk akses lebih mudah.
• Memasang CCTV berteknologi tinggi di lokasi strategik.
• Memasang jeriji besi pada bangunan SPRM.
• Menggunakan Body Worn Camera (BWC) ketika operasi siasatan.
• Memperkenalkan teknik soal siasat PEACE (Planning, Engage, Account, Closure, Evaluation) yang memberi penekanan pada keberhasilan dan keselamatan.
Untuk rekod, pada 12 Mei 2015 kerajaan telah membayar pampasan RM600,000 kepada keluarga Beng Hock selain tambahan RM60,000 bagi kos guaman sebagai penyelesaian penuh dan muktamad di bawah Seksyen 7 & 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956.
Beng Hock, Setiausaha Politik kepada ADUN Seri Kembangan ketika itu, ditemui meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan sama.
Pada 2011, Mahkamah Koroner memutuskan kematiannya bukan akibat bunuh diri atau dibunuh.
Namun Suruhanjaya Siasatan Diraja pada tahun sama menyimpulkan ia disebabkan tindakan membunuh diri.
Bagaimanapun pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan itu dan memutuskan kematian Beng Hock adalah akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa individu yang tidak dikenali.