Spekulasi Kabinet: KJ, Johari Ghani, Ramanan Antara Nama Disebut Ganti Menteri PKR

KUALA LUMPUR: Susulan pengunduran dua menteri PKR daripada Jemaah Menteri, spekulasi mengenai penyusunan semula Kabinet mula menjadi bualan hangat, dengan beberapa nama besar disebut bakal mengisi kekosongan tersebut.

Menurut sumber dalaman parti, PKR didakwa telah membuat persiapan awal sekiranya Datuk Seri Rafizi Ramli meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi, susulan kekalahannya dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Antara nama paling disebut-sebut bagi menggantikan Rafizi ialah Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani.

Sekiranya pertukaran ini berlaku, tempat Johari pula dipercayai akan diisi oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang dikatakan bakal dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Difahamkan, curriculum vitae (CV) Khairy telah dihantar ke Jabatan Perdana Menteri (PMO) untuk pertimbangan, walaupun pelantikannya memerlukan persetujuan dari pimpinan UMNO memandangkan beliau bukan lagi ahli parti itu.

Menurut sumber, Khairy dijangka kembali sebagai menteri atas kapasiti teknokrat, tanpa mewakili mana-mana parti.

Sementara itu, kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad pula dijangka diisi oleh Naib Presiden PKR yang baru, Datuk Seri R. Ramanan.

Kini menjawat jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kerusi Ramanan berkemungkinan besar akan digalas oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Nama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim turut disebut-sebut sebagai calon yang berpotensi menggantikan Adam Adli di Kementerian Belia dan Sukan, dengan ura-ura beliau bakal dilantik ke Dewan Negara.

Bagaimanapun, menurut sumber, portfolio Kementerian Ekonomi masih belum dimuktamadkan sepenuhnya, dan beberapa nama teknokrat turut sedang dipertimbangkan, termasuk bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican.

Di peringkat negeri pula, Perdana Menteri dijangka mengekalkan dua Menteri Besar PKR – Datuk Seri Amirudin Shari di Selangor dan Datuk Seri Aminudin Harun di Negeri Sembilan – dengan kuasa penuh untuk menyusun semula barisan Exco masing-masing.

Satu perubahan yang dijangka di Selangor adalah penamatan khidmat Exco, Dr Fahmi Ngah, yang tewas dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Antara nama yang disebut bakal menggantikan beliau termasuk ADUN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri, Izuan Kassim dan Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet.

BBerkaitan

Latest articles