SKMM Siasat Insiden Hina Jalur Gemilang Di TikTok Live

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap siaran langsung di TikTok yang memaparkan tindakan biadab memijak Jalur Gemilang, dipercayai disiarkan dari Sri Lanka.

Fahmi menyifatkan insiden itu sebagai melampau dan menjelaskan bahawa beliau telah memaklumkan perkara itu kepada SKMM untuk tindakan lanjut.

Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian SKMM, Sulaiman Sultan Suhaibuddeen berkata siasatan sedang dijalankan dan usaha sedang dibuat untuk menyekat akses kepada video tersebut, termasuk bekerjasama dengan TikTok.

Video terbabit, yang berlangsung lebih empat jam, dikatakan berpunca daripada konflik maya antara pengguna media sosial dari Malaysia dan Sri Lanka.

Menurut Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), ketegangan tercetus apabila seorang warga Sri Lanka yang tinggal di Kuwait bertindak membakar bendera Malaysia dalam satu sesi TikTok Live menggunakan akaun palsu.

Siaran tersebut kemudiannya dipenuhi dengan ucapan kebencian, serangan perkauman, dan gangguan seksual melibatkan penonton dari kedua-dua negara.

Ia dipercayai bermula sehari sebelumnya apabila pengguna Malaysia memuat naik imej wanita Sri Lanka dengan niat memalukan, sebelum dibalas dengan tindakan sama oleh pengguna Sri Lanka.

GHRF mengkritik kelewatan TikTok dalam bertindak walaupun siaran itu telah dilaporkan beramai-ramai, dan menyifatkan insiden ini bukan sekadar isu media sosial, tetapi membabitkan hak asasi manusia dan keselamatan negara.

SKMM menegaskan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan menasihati orang ramai untuk tidak menyebarkan atau melibatkan diri dalam kandungan provokatif yang boleh memburukkan lagi keadaan.

BBerkaitan

Latest articles