KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran tegas kepada semua penyedia platform media sosial agar mematuhi peraturan perundangan negara, atau berdepan tindakan undang-undang.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, SKMM menegaskan komitmennya untuk terus memantau serta mengambil langkah tegas terhadap mana-mana platform yang gagal mengawal kandungan berunsur jelik, palsu dan membahayakan ketenteraman awam.
“Suruhanjaya telah mengenal pasti beberapa saluran dalam talian yang menyebarkan maklumat palsu, kandungan melampau serta berunsur ancaman. Kandungan sebegini bukan sahaja mengelirukan orang awam, tetapi juga boleh melemahkan kepercayaan terhadap institusi negara serta menggugat ketenteraman,” kata SKMM.
Tindakan ini susulan laporan media yang mendedahkan bahawa sebanyak 159,518 kandungan dalam talian telah diturunkan oleh platform Facebook, TikTok dan YouTube setakat Rabu, atas permintaan kerajaan.
Kandungan tersebut melibatkan aktiviti perjudian, penipuan dalam talian, buli siber dan penyebaran berita palsu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, sebelum ini memaklumkan bahawa angka itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 174,473 kandungan yang dimohon untuk diturunkan sepanjang tahun ini.
SKMM juga menjelaskan bahawa pihaknya telah melaksanakan pelbagai pendekatan termasuk sesi rundingan dan pemantauan berterusan bersama penyedia platform media sosial.
“Namun, tahap pematuhan dalam kalangan penyedia platform masih berada pada tahap yang tidak memuaskan walaupun pelbagai usaha telah dilakukan,” tambah kenyataan itu.
SKMM menegaskan bahawa mereka kekal komited dalam memastikan internet di Malaysia kekal sebagai ruang digital yang selamat, beretika dan memberi manfaat kepada rakyat.
Suruhanjaya itu juga menyeru agar semua pihak termasuk pengguna, platform digital dan institusi berkaitan untuk bekerjasama dalam menjaga integriti dan keselamatan ruang siber negara.