Siti Bainun Mohon Masukkan Laporan Polis Ibu Zayn Rayyan Sebagai Bukti Baharu Dalam Rayuan Kes Bella

KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali memohon untuk memasukkan laporan polis yang dibuat oleh ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin sebagai bukti baharu dalam rayuan kesnya di Mahkamah Rayuan.

Peguamnya, Haijan Omar memaklumkan laporan itu dibuat oleh Ismanira Abdul Manaf di Balai Polis Saujana Utama pada 25 Julai 2023 dan hanya diketahui oleh pihak pembelaan pada 24 Mac lalu, selepas perbicaraan kes selesai.

Dalam notis usul yang difailkan pada 7 Mei lalu, Siti Bainun juga memohon kebenaran untuk memanggil Ismanira memberi keterangan lanjut mengenai laporan tersebut serta memanggil semula seorang saksi penting pendakwaan untuk disoal balas secara lebih mendalam.

“Laporan ini mengandungi dakwaan berkaitan seorang saksi pendakwaan dalam kes Bella, dan kami percaya ia relevan untuk dipertimbangkan sebagai keterangan baharu,” ujar Haijan ketika ditemui di luar mahkamah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa memaklumkan bahawa pihaknya baru menerima permohonan tersebut dan memerlukan masa untuk membalas.

Beliau turut mengesahkan bahawa laporan polis oleh Ismanira kini sedang disiasat oleh pihak polis.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Dr. Choo Kah Sing menetapkan 3 Jun ini untuk pengurusan kes lanjut.

Rayuan akhir Siti Bainun terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun sepatutnya didengar hari ini, namun ditangguhkan bagi memberi ruang kepada permohonan bukti baharu itu diproses.

Menurut Haijan, Mahkamah Rayuan akan mendengar terlebih dahulu permohonan untuk memasukkan bukti baharu sebelum membuat keputusan sama ada untuk membenarkannya atau tidak.

“Jika dibenarkan, mahkamah akan tentukan sama ada keterangan baharu itu akan diambil dalam perbicaraan kecil atau dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk didengar semula,” jelasnya.

Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down berusia 13 tahun, Bella, di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.

Selain hukuman penjara, Siti Bainun turut diarahkan menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM5,000, serta melaksanakan 200 jam khidmat masyarakat selepas tamat tempoh hukuman.

Rayuan pertamanya di Mahkamah Tinggi ditolak pada 2 Mei 2024, dan kini beliau meneruskan rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan.

BBerkaitan

Latest articles