Sifat Kebapaan PM Terserlah Apabila Enggan Mahasiswa UMS Dikenakan Tindakan

KOTA KINABALU: Pesanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 tidak dikenakan tindakan disiplin disifatkan sebagai satu langkah penuh ihsan dan berjiwa besar.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Amidi Abdul Manan menyifatkan tindakan Anwar sebagai luar dugaan tetapi mencerminkan sifat kebapaan seorang bekas pemimpin mahasiswa yang memahami keperluan menjaga masa depan generasi muda.

“Ini adalah minggu ke-14, minggu terakhir pembelajaran sebelum minggu ulang kaji dan peperiksaan bermula. Jika tiada pertimbangan ihsan daripada Perdana Menteri, tentu proses perundangan akan tetap dijalankan tanpa mengambil kira tekanan akademik pelajar,” katanya.

Amidi turut membuat perbandingan dengan zaman perjuangan mahasiswa era Reformasi 1998 di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika mana pelajar-pelajar aktivis dipanggil ke balai polis walaupun sedang menghadapi minggu peperiksaan.

“Pengalaman saya dulu ketika memimpin gerakan mahasiswa, kami tetap dipanggil ke balai dan ada yang dikenakan tindakan walaupun dalam minggu akhir semester. Apa yang berlaku hari ini jauh lebih berperikemanusiaan,” katanya yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam kenyataan sama, Amidi turut menyentuh punca sebenar keresahan mahasiswa UMS iaitu masalah bekalan air yang berlarutan tanpa penyelesaian tuntas.

“Mahasiswa sudah muak dengan alasan. Mereka hanya mahukan jawapan yang jujur dan telus. Saya yakin jika pihak universiti tampil dengan penjelasan tanpa berselindung, mahasiswa akan dapat menilai secara rasional,” tegasnya.

Katanya lagi, menjelang musim peperiksaan, ketiadaan air bukan sekadar isu keselesaan tetapi satu krisis kebajikan yang menguji mental dan fizikal para pelajar.

Amidi turut menyatakan sokongan dan doa kepada aktivis mahasiswa, M. Fadhli M. Kasim, agar terus tabah memperjuangkan isu air kampus yang memberi kesan kepada ratusan pelajar di kampus utama Universiti Malaysia Sabah.

BBerkaitan

Latest articles