PUTRAJAYA: Ketua Pengarah baharu Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berazam memastikan agensi itu lebih menyerlah dan dilihat secara fizikal oleh masyarakat dalam memelihara keselamatan sempadan negara.
Mohd Shuhaily, yang memulakan tugas rasminya hari ini, berkata beliau optimis AKPS dapat terus memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan penguatkuasaan negara.
“Insya-Allah, dalam masa terdekat kita akan pastikan kehadiran AKPS dapat dilihat secara fizikal dan memberi impak seperti yang diharapkan kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri taklimat tertutup bersama pegawai dan anggota AKPS, hari ini.
Beliau turut mengakui hanya mempunyai tempoh dua tahun untuk melaksanakan amanah yang diberikan.
“Kontrak saya dua tahun, kalau dipecahkan kepada suku tahun, hanya tinggal lapan suku saja untuk saya laksanakan tanggungjawab ini,” katanya.
Mohd Shuhaily, 53, dilantik menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali yang bersara pada Februari lalu, mengisi kekosongan jawatan Ketua Pengarah AKPS selama lima bulan sebelum ini.
Terdahulu beliau tiba di pejabat AKPS pada jam 9.15 pagi disambut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Mohd Jasmi Mohd Juwahir serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Ismail Mokhtar.
Pelantikan beliau diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 27 Jun lalu.
Berbekalkan pengalaman lebih 26 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk pernah bertugas sebagai Atase Polis di Washington, Amerika Syarikat, Mohd Shuhaily yakin dapat memacu AKPS menggalas cabaran sempadan negara dengan lebih cekap.
Jawatan terakhirnya sebelum ini ialah sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sejak Ogos 2023.