KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa sekurang-kurangnya tujuh surat telah dihantar kepada pelbagai pihak kerajaan bagi mengesahkan kewujudan titah adendum berkaitan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak, namun kesemua surat tersebut masih belum mendapat maklum balas.
Menurut beliau, surat-surat berkenaan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Penjara, namun tidak satu pun dibalas, bahkan penerimaannya juga tidak diakui.
“KDN seharusnya tampil menjawab. Jika dokumen itu tidak wujud, kenapa tidak maklumkan sahaja? Tapi mereka berdiam diri, mungkin kerana dokumen itu memang wujud,” katanya dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Shafee turut mempersoalkan sikap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang menurutnya gagal mengarahkan pegawai-pegawainya memberikan jawapan tepat semasa prosiding mahkamah sebelum ini.
Beliau menjelaskan, prosiding semakan kehakiman bukan satu perkara biasa, dan pihak kerajaan perlu berlaku jujur dalam mengemukakan sebarang dokumen berkaitan.
Najib sebelum ini memfailkan prosiding komital terhadap Ahmad Terrirudin atas dakwaan menghina mahkamah berkaitan isu titah adendum. Permohonan itu difailkan menerusi firma guaman Tetuan Shafee & Co pada 21 Mei lalu.