SHAH ALAM: Polis Selangor telah memanggil enam saksi, termasuk Datuk Seri Rafizi Ramli dan isterinya, bagi membantu siasatan insiden serangan fizikal terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi itu di Putrajaya semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari lokasi kejadian dan kawasan sekitar kini sedang dianalisis dan dijangka menjadi petunjuk penting mengenal pasti suspek.
“Siasatan awal melalui CCTV memberi sinar dan bantuan kepada pihak polis. Litupan rakaman bukan sahaja di dalam premis IOI Mall tetapi juga di kawasan luar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, petang ini.
Menurut Shazeli, siasatan masih dijalankan dan setakat ini belum ada individu dikenal pasti sebagai pelaku.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2 petang semalam di kawasan menurun dan mengambil penumpang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Mangsa, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, kini dirawat di sebuah hospital di Selangor untuk pemeriksaan lanjut.
Rafizi dalam kenyataan mengesahkan anaknya diserang oleh dua lelaki berpakaian hitam, bertopi keledar dan menaiki motosikal.
Mereka dipercayai mengekori kenderaan isterinya sebelum kejadian berlaku.
Lebih membimbangkan, Rafizi mendedahkan isterinya menerima mesej berbaur ugutan kira-kira jam 1.45 tengah hari tadi, hanya beberapa jam selepas serangan.
Mesej itu berbunyi “diam, jika teruskan, AIDS” bersama emoji picagari, satu amaran yang dipercayai cuba menakutkan keluarga tersebut daripada mengambil tindakan lanjut.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai bagi menjaga sensitiviti semua pihak.