KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan insiden serangan ke atas sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin, Cheras pada Ahad lalu bukan berlaku secara rawak, sebaliknya berpunca daripada konflik dalaman melibatkan persaingan perniagaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati serangan tersebut dipercayai dirancang susulan pertikaian antara pemilik premis dan pihak pesaing, termasuk penglibatan kumpulan kongsi gelap yang diupah.
Menurutnya, terdapat elemen dendam dan usaha menguasai operasi premis yang mendorong tindakan keganasan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, polis telah menahan seramai 45 individu tempatan berusia antara 14 hingga 57 tahun, termasuk dua pelajar sekolah, menerusi operasi berterusan di sekitar Lembah Klang sejak dua hari lalu.
Pihak berkuasa turut merampas pelbagai senjata seperti besi dan kayu besbol serta beberapa kenderaan termasuk sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk merempuh premis berkenaan.
Pada hari pertama kejadian, lapan individu ditahan namun hanya seorang direman, manakala 37 lagi ditahan semalam dan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 dan 148 Kanun Keseksaan berkaitan khianat serta merusuh menggunakan senjata. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, lebih 60 individu bertopeng dilaporkan menyerbu dan menceroboh premis terbabit, mencetuskan kekecohan yang sempat dirakam orang awam sebelum tular di media sosial.
Polis kini sedang giat memburu beberapa lagi suspek yang masih bebas bagi melengkapkan siasatan.










