Selepas 3 Hari, Mayat Isteri Anggota Tentera Hanyut di Sungai Triang Ditemukan

BERA: Misteri kehilangan seorang suri rumah yang dihanyutkan arus deras di Sungai Triang sejak tiga hari lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan pagi ini.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintenden Zulkiflee Nazir, memaklumkan bahawa mayat Sakirah Akob, 31, ditemukan dalam keadaan terapung tertiarap oleh seorang individu awam yang sedang berjoging berhampiran sungai pada jam 8.12 pagi.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dihanyutkan arus. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masuk hari ketiga hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian pada 9 Jun lalu, Sakirah, isteri kepada seorang anggota tentera, dihanyutkan selepas kenderaan yang diparkir di tepi sungai bergerak secara tiba-tiba dan terjunam ke dalam sungai.

Ketika kejadian, mangsa bersama anaknya berada di dalam kereta manakala suaminya sedang memancing kira-kira 8 meter dari lokasi.

“Mangsa sempat menyerahkan bayi perempuannya kepada suami sebelum dihanyutkan bersama kenderaan ke dalam arus deras Sungai Triang,” jelas Zulkiflee.

Mayat Sakirah telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Bera untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.

Operasi SAR melibatkan pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung telah dijalankan sejak hari kejadian.

BBerkaitan

Latest articles